Petaling Jaya, 20 April 2017 – Primeworks Distribution telah mengadakan Tayangan Perdana bagi filem kerohanian arahan Mamat Khalid, Lebuhraya ke Neraka yang bakal menggamatkan pawagam seluruh negara bermula 4 Mei 2017 ini. Tayangan Perdana yang diadakan eksklusif buat rakan-rakan media serta tetamu jemputan tersebut telah diadakan di GSC Pavillion, Kuala Lumpur, dan turut disertai oleh rakan-rakan artis serta barisan pelakon.

Menggandingkan Awie dan Khir Rahman sebagai teraju utama, filem terbitan Grand Brilliance ini memperlihatkan sisi Mamat Khalid yang matang dengan falsafah-falsafah tentang kehidupan. Filem yang turut dibintangi oleh Shahz Jaszle, Miera Liyana, Dazrin Kamarudin dan Fatin Syahirah, serta penampilan khas Pekin Ibrahim ini merupakan iniasiatif Mamat Khalid dalam berdakwah kepada peminat-peminat serta penggemar-penggemar hasil karya beliau.

Sinopsis

Lebuhraya ke Neraka memaparkan kisah sekumpulan geng motor berkuasa tinggi yang diserang penyakit misteri secara tiba-tiba semasa berhenti di suatu kawasan untuk berehat. Bob (Awiw) yang mengetuai konvoi itu tidak mengalami sebarang penyakit misteri seperti rakan-rakannya yang lain. Ketika Bob sedang mencari bantuan, dia telah terserempak dengan seorang lelaki misteri bernama Tyson (khir Rahman) yang bersetuju untuk menolongnya. Akan tetapi Bob harus membuat keputusan sama ada dia mahu meyelamatkan rakan-rakannya atau mempertaruhkan nyawa mereka sebagai balasan di atas pertolongan Tyson. Mampukah Bob menyelamatkan nyawa rakan-rakannya yang diancam Tyson?

Filem edaran Primeworks Distribution ini memakan masa selama lebih enam tahun untuk disiapkan, selepas penggambarannya sekitar tahun 2011. Menurut Mamat Khalid, beliau teleah bertemu dengan Mufti Perak bagi mendapatkan sokongan untuk menayangkan beberapa adegan penting bagi filem ini yang dianggap kontroversi. Jelasnya, adegan-adegan tersebut amat penting bagi menimbulkan kesedaran dan sekaligus mengajak manusia untuk menginsafi dosa yang telah dilakukan dan bertaubat sementara masih berkesempatan.

Untuk info lanjut mengenai Lebuhraya ke Neraka, lawati Review Filem Lebuhraya ke Neraka (2017).

Apa Komen Anda?